Monday, October 1, 2012

Melayu Johor By Usman Awang

Assalamualaikum.. ^.^

Adakah anda kenal dengan sasterawan negara bernama Dato' Usman Awang?

Ketika hayatnya, beliau telah menghasilkan sebuah sajak yang melambangkan atau mentafsirkan bagaimana sifat dan tingkah laku warga johor. Betapa hebatnya beliau sehingga mampu menterjemahkan sifat keperibadian johor secara kiasan. Tidak semua perasan bahawa warga johor mempunyai sifat sebegini, marilah sama-sama menghayati nukilan beliau.

 

SAJAK MELAYU JOHOR


Melayu Johor

telah terlalu banyak kita kehilangan

sawah ladang bertukar tangan

pekan dan bandar kita menumpang

Teluk Belanga entah ke mana

yang tinggal hanyalah pakaian

sedarah sedaging hampir hilang

yang ada hanyalah setulang

Selat Tebrau kian sempit

hati rindu jauh tergamit.


Di Johor,

Jawa itu Melayu

Bugis itu Melayu

Banjar itu Melayu

Minangkabau memang Melayu

Aceh dan Siak adalah Melayu

Jakun dan Sakai lebih Melayu

Arab dan Turki pekat Melayu

Mamak dan Malbari jadi Melayu

malah Muallaf bertakrif Melayu.


Melayu itu maknanya bijaksana

“jika menipu pun bersopan”

kurang ajarnya tetap bersantun

dajalnya cukup selamba

budi bahasa jangan dikira

beraninya cukup benar

tunduk bila bersalah

“lembutnya cukup jantan”

setia sampai ke kubur

biar mati adat jangan mati sahabat.


Anak Johor,

luka di Tanjung Putri

parutnya di Parit Raja

muka biar berseri

mulut biar berbahasa.


Berkelahilah cara Melayu

menikam dengan pantun

menyanggah dalam senyum

marahnya dalam tertawa

merendah bukan menyembah

meninggi bukan melonjak.


Watak Melayu menolak permusuhan

jiwa Melayu mengangkat persahabatan

kasih sayang kekeluargaan

ringan tulang saling bertolongan

jujur memaafkan, ikhlas memberikan.


Berdamailah cara Melayu

silaturahim yang murni

di mulut sama di hati

maaf senantiasa bersahut

tangan dihulur bersambut

luka pun tidak lagi berparut.


Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,

dalam kekeruhan ini carilah perdamaian

sifat terpuji setiap insan.


Bermuafakat supaya berkat

bersaudara dunia akhirat

berikhtiar dengan tabah

kepada Allah berserah.


USMAN AWANG

1988

 

No comments:

Post a Comment